Murtad: Makna dan Penyelesaian
myhteory
Murtad: Makna dan Penyelesaian
Persoalan MURTAD ( Irtidad atau Riddah) adalah salah satu daripada banyak hal yang menimbulkan tanda tanya dan lebih kefahaman kepada umat Islam. Dengan bertambahnya umat Islam di dalam dunia ini, maka secara tidak langsungnya, bilangan mereka yang "ingin berpaling" daripada Islam juga bertambah.
Maka sudah jadi kewajipan, satu fardhu sebenarnya untuk umat Islam memahami sebenar-benarnya apakah takrifan di sebalik murtad, hukuman pada si murtad, falsafah di sebalik hukuman dan beberapa lagi aspek relatif mengenai murtad.
Apakah itu Murtad ?
Irtidad atau Riddah adalah membawa kepada satu makna iaitu "berpaling daripada ajaran Islam kepada ajaran lain atau kepada menafikan ajaran Islam". Mereka yang berpaling daripada ajaran Islam ini dikenali sebagai "Murtad".
Untuk membuat suatu pendakwaan Riddah, diperlukan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang cukup syarat. Dibawakan kes kepada khazi, atau hakim yang kemudiannya akan mendapat kepastian daripada saksi-saksi. Sewaktu bertemu hakim dan saksi inilah, akan diminta menyatakan bukti-bukti daripada kata-kata atau perbuatan yang telah membawa kepada pertuduhan Riddah.
Riddah hanya boleh dizahirkan dengan dua cara.
1. melalui lidah. Bahawa dia si polan bi si polan telah mengakui bahawa dia telah musyrik ( menyembah yang lain daripada Allah atau menyekutukannya) atau menyatakan sesuatu yang membawa kepada makna bahawa dia tidak lagi percaya kepada tuhan. Contohnya, dia menyatakan bahawa Allah itu berkuasa, dan Ruhul Kudus juga berkuasa sama. Atau dia menyatakan bahawa Allah itu juga punya kelemahan. Sama dengan makhluk.
2. melalui perbuatan. Bahawa dengan perbuatannya itu maka manusia secara jelas dapat menyimpulkan bahawa dia telah menolak Islam (Kufur). Contohnya, melemparkan Quran atau menyamakan Quran dengan perkataan syaitan. Juga bilamana ia menolak terang-terangan kepada hadis-hadis yang sahih. Seperti menolak bersolat sebagaimana nabi atau bersuci daripada hadas dengan cara yang telah ditunjukkan nabi.
Sebenarnya, masih banyak perkataan atau perbuatan yang disifatkan ulama" sebagai "Riddah". Namun atas percanggahan pendapat, maka saya simpulkan pada beberapa hal yang pokok sahaja.
Hukuman Kepada Murtad
Sebenar-benarnya perbincangan kepada hukuman murtad ini adalah perbincangan yang panjang dan berat. Maka untuk mengambil jalan paling mudah difahami, saya rumuskan beberapa bahagian yang ditekankan oleh penulis mahupun ulama" lampau dalam kitab-kitab mereka.
Dimulakan dengan meletakkan Al-Quran dan As-sunnah sebagai sumber rujukan asas dalam Fiqh Islamiyyah atau Perundangan Islam. Kenapa saya tegaskan Al-Quran dan As-sunnah? Kerna kekeliruan inilah yang menjalar dan mengelirukan ramai sarjana Barat. Al-Quran bertindak sebaga rujukan mutlak tanpa disandarkan kepada hadis.
Sememangnya Al-Quran adalah kata-kata Tuhan. Tapi taklah pula hadis itu kata-kata Muhammad semata-mata. Hadith juga datang daripada Allah, dan ia bertindak sebagai penjelas kepada Al-Quran. Amat malang bagi sarjana Barat apabila menolak Hadith kerna kata mereka: ia bersumberkan manusia.
Walhal mereka kemudian menginterperasikan makna-makna Al-Quran mengikut akal fikiran mereka jua. Bukan manusiakah mereka?
Ia jelas dalam Al-Quran bahawa tiada ayat yang menyatakan secara khusus hukuman bagi si Murtad. Namun di sinilah fungsi hadith dalam menjelaskan Al-Quran. Bukan menambah tapi membutirkan yang tersimpan.
Apa hukuman yang ditentukan Rasulullah?
Bilamana saya susuri laman-laman web di internet, maka banyak sekali ditulis mengenai pembahagian Murtad kepada dua, yakni Milli dan Fitri. Ini adalah pegangan yang dipegang oleh Syiah. Milli ditujukan kepada "Muslim yang asalnya bukan Islam" dan Fitri ditujukan kepada "Muslim yang sejak lahir Islam".
Dalam Syiah, hukuman Milli dan Fitri adalah berbeza, Fitri wajib dibunuh manakala Milli pula diberikan dulu peluang bertaubat. Ini kerana pada pandangan pihak Syiah, Fitri adalah Muslim yang sudah lama Islamnya, maka kefahaman Islamnya adalah kuat. Jadi, hukuman had "bunuh" adalah untuk menghapuskan dosa "kufr" nya walaupun dia sudah kembali pada Islam semula.
Namun setelah saya baca-baca dan kaji dengan teliti, fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih kuat dalam hal ini. Jadi saya lebih cenderung mengatakan bahawa inilah cara sebenar Islam menyelesaikan masalah Riddah.
Dalam merujuk hukum-hukum Fiqh Islamiyyah, Islam menggunakan beberapa sumber yakni Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak, Ijitihad , Uruf dan beberapa lagi rujukan. Namun sepastinya dua sumber teratas dan tidak boleh dilebihi adalah Al-Quran dan As-sunnah.
Maka sekali lagi dalam melihat contoh-contoh bentuk hukuman, maka perlu dilihat bukan sahaja sirah (cara hidup) Nabi Muhammad s.a.w, malahan perlu jua dilihat kaedah Khalifah Ar-rasyidun, para Tabi-in dan juga keputusan ulama’ dalam masa kini. Secara mudahnya, hukuman bertunjang pada paksi, tetapi masih ada ruang bincang dalam menyesuaikan dengan keadaan. Selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-sunnah.
Dalam Islam, sebenarnya tiada langsung dibezakan antara seorang Islam lahir, atau Islam bila dewasa, kerana sepastinya Islam itu fitrah untuk semua. Tidak pula dibezakan antara seorang itu keluar daripada Islam kepada Kristian atau kepada Judaism berbeza dengan mereka yang atheism. Semuanya sama, kerna mereka tidak mengaku akan Ketunggalan dan jua Keunggulan Allah Subhanahu Wataala.
Sebenar-benarnya dalam Islam, tidak pernah seorang Murtad langsung dibunuh terus. Malah Musallamah Al-Kazzab yang mengaku nabi itu sekalipun diberi nasihat terlebih dahulu sebelum diperangi. Ini kerana jelas Islam meletakkan nyawa manusia di suatu tempat mulia dan bukanlah suatu yang dimain-mainkan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, maka sebenarnya WAJIBLAH bagi pihak pemerintah mengadakan sesi kaunseling dahulu. Tak kira siapa dia. Jika dia ini tegar mahu kufr nya, maka sejukkan dia dengan logik akal. Jika dia ada keliru dalam Islam, maka perjelaskan dahulu kekeliruannya. Bahkan berkali-kali sesi nasihat dan kaunseling perlu diadakan hinggalah Muslim itu bertaubat.
Malahan Syeikh Sarakhsiy mengatakan, adalah dibolehkan sesi ini dilakukan sampai berbulan. Kerna jika dia benar-benar faham dengan Islam, maka payahlah dia ingin murtad. Beliau menegaskan dalam soal murtad, tiada beza antara seorang merdeka dan hamba. Kedua-duanya punya hak sama dan wajar dilayan dengan cara yang sama.
Hanya andai jika setelah begitu banyak kelonggaran dberikan, dia masih jua berdegil, barulah hukuman bunuh diadakan. Kenapa "bunuh" akan saya terangkan dalam siri selanjutnya.
Pun begitu, masih begitu banyak syarat-syarat sebelum hukuman diadakan. Bukan sembrono bunuh saja. Orang yang gila, atau ada ciri-ciri kurang siumannya, atau dia itu dalam keadaan yang tidak stabil akal dan emosinya tidak boleh dihukum bunuh. Begitu juga dengan mereka yang mabuk, sedikit atau banyak. Mereka yang tidak sedar (latah juga dikategorikan di sini) pun tak boleh dihukum bunuh. Mereka yang islamnya tidak diketahui umum juga tidak boleh dihukum terus dengan hukuman bunuh.
Mengikut Imam Hanafi, seorang wanita yang murtad, tidak boleh dia dibunuh. Hanya boleh dia dipenjarakan sehingga waktu kematiannya. Dia juga dilarang daripada disakiti. Begitu juga seorang tua yang sudah uzur.
Seorang kanak-kanak yang murtad, juga tidak termasuk dalam hukuman had (hudud) bunuh ini. Beliau wajib diberi masa hingga dewasa, hingga baligh dan mampu berfikir dengan betul. Jika selepas itu masih juga mahu jadi murtad, barulah hukuman boleh diadakan. Ini membuktikan bahawa Islam sudah lama membezakan salah juvana dan umum.
Maka apa yang mahu saya tekankan pada bahagian ini adalah tiada hukuman bunuh membabi-buta dalam Islam. Semuanya dengan tertib dan hikmah. Mengikut adab. Islam tidak pernah menjadi agama yang kejam, bahkan manusialah yang selalu saja bersangka buruk pada tuhan.
Pada bahagian kedua, saya akan perjelaskan lagi isu-isu berbangkit dalam masalah murtad. Adakah ini isu orang Islam sahaja? Adakah hukuman bunuh itu pada semua? (dah disentuh sedikit)
Juga, Mengapa Islam sangat memusuhi agenda murtad? Dan mungkin juga justifikasi di sebalik hukuman bunuh.
Pada bahagian ketiga, (ya, tiga bahagian kerna terlalu banyak yang penting) akan saya cuba fahamkan kebaikan-kebaikan di sebalik hukuman had bunuh itu. Apakah yang keras itu semuanya buruk? Dan apakah berlembut itu akan bawa pada maksud.
Juga kesimpulan dalam konteks negara kita Malaysia. Mungkin juga rujukan-rujukan saya.